Jika ditanya secara jujur kepada rakan dan taulan, berapa ramaikah di antara kita yang betul-betul memeriksa jika premis makanan yang dikunjungi mempunyai sijil halal?

Mungkin hanya beberapa kerat dan di premis-premis tertentu sahaja. Yang pastinya, masih ramai diantara kita yang masih mengambil mudah tentang isu halal-haram walaupun ramai mengaku tahu tentang peri pentingnya halal dalam menjamin kesejahteraan rohani dan jasmani, terutama semasa Hari Pembalasan.

Tentunya ramai yang pernah mendengar hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Setiap jasad yang membesar daripada benda-benda yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya.” (Riwayat Al-Baihaqi dan Abu Nuim)

Hakikatnya, mencari yang halal bukan sahaja fardhu kepada setiap orang yang mengaku dirinya Muslim, ianya juga merupakan sesuatu yang mampu menjamin keberlangsungan sesebuah masyarakat, baik yang beragama Islam ataupun bukan.

Ini jelas dari firman Allah SWT yang ditujukan kepada seluruh umat manusia: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang lagi nyata bagi kamu.” (Al Baqarah: 168)

Konsep ‘animal welfare’ merupakan salah satu cabang dari Halalan Thoyyiban.

Halal juga boleh dilihat dari perspektif sebagai sebuah sumber rujukan pengendali dari Sang Pencipta, atau Owner’s Manual, bagi kegunaan manusia sejagat dalam melalui liku-liku kehidupan seharian.

Maka tidak hairanlah jika konsep-konsep universal seperti kebajikan haiwan (animal welfare), pemeliharaan alam sekitar (environmental preservation), tanggungjawab sosial (social responsibility) serta perdagangan dan harga saksama (fair trade dan fair price)begitu asyik diperjuangkan oleh masyarakat moden terutama dari Barat.

Yang pasti, kesemua konsep-konsep universal tersebut merupakan cabang-cabang dari konsep berkembar Halal iaitu Toyyibban, atau baik dan selamat (wholesome). Manusia secara semulajadinya menginginkan suatu jaminan keselamatan baik dari segi zahir (jasmani) mahupun batin (rohani).

Kunci bagi jaminan ini telah diperjelaskan oleh Allah SWT Maha Pencipta, iaitu dengan memakan makanan yang baik dan halal, yang dibeli dari pendapatan yang halal dan dihasilkan dari bahan dan persekitaran yang bersih lagi selamat.

Tidak hanya terbatas kepada penyediaan produk akhir semata-mata, Thoyyib juga berkehendakkan suatu ekosistem yang aman, adil dan bertanggungjawab bagi menhasilkan produk akhir tersebut.

Benarkah Malaysia merupakan negara majoriti Islam pertama yang memperdagangkan Islam?

Sebagai contoh, proses penyediaan makanan halal tersebut harus bersifat peri-kemanusiaan dengan tidak menganiaya haiwan, berlaku adil kepada pekerja dan pembeli serta tidak memudaratkan alam sekitar dengan sisa buangan yang merbahaya dan akan menjejaskan generasi akan datang.

Tentunya amat tidak adil jika hanya kerana kita sebagai pengguna berkehendakkan sesuatu jenis makanan maka beberapa ekor haiwan akan terseksa, beberapa orang pekerja akan terpaksa bekerja lebih masa dan dibayar dengan kadar yang tidak setimpal serta merosakkan alam sekitar yang kesannya akan dirasai untuk beberapa generasi akan datang.

Jelas halal merangkumi keseluruhan aspek kehidupan manusia dan hubung-kaitnya bukan hanya kepada sesama manusia yang lain, bahkan juga kepada haiwan dan alam semesta keseluruhannya. Inilah cakupan sebenar halal sebagai suatu cara hidup yang lengkap bagi setiap seorang dari tujuh bilion umat manusia yang mendiami planet Bumi hari ini.

Jika pemahaman ini mampu difahami dan diterapkan oleh setiap pengusaha produk dan perkhidmatan halal, nescaya dunia akan menjadi lebih baik dari apa yang ada sekarang dan berterusan terpelihara untuk generasi akan datang.

Bagi para pengguna, tanggungjawab lebih besar sebenarnya terletak di tangan mereka kerana pngguna mempunyai kuasa membeli yang mutlak. Penggunalah yang menetapkan tahap kesempurnaan serta kualiti sesuatu produk. Jika terdapat keraguan, adalah lebih baik jika ianya ditinggalkan sahaja. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang disampaikan oleh cucu baginda Abu Muhammad Al-Hasan bin Ali bin Abi Thalib ra yang berkata, ”Aku menghafal pesan Rasulullah saw yang berbunyi ‘Tinggalkan perkara yang meragukanmu dan ambillah perkara yang tidak meragukanmu’.” (Riwayat Nasai dan Tirmidzi).

Memandangkan Malaysia sebuah negara majoriti Muslim yang mempunyai pensijilan halal yang dipandang tinggi oleh masyarakat dunia, maka tanggungjawab ini melangkaui keperluan untuk diri dan keluarga semata-mata.

Apa yang diterima pakai oleh kita sebagai pengguna halal di Malaysia akan juga direplikasi dan diguna pakai bagi menghasilkan barangan yang sama untuk pasaran eksport antarabangsa. Lihat sahaja pada produk-produk halal tempatan yang dipamerkan di Pameran Antarabangsa Halal (MIHAS) setiap April di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Kesemuanya gah dan setaraf dengan produk halal yang didatangkan dari negara luar.

Standard pensijilan halal Malaysia mempunyai impak yang besar

Bukan hanya produk halal, standard pensijilan halal Malaysia juga mempunyai impak yang besar dalam penetapan piawaian halal di negara lain. Bukanlah sesuatu yang rahsia bahawa setiap perkembangan industri halal di Malaysia diperhalusi dengan teliti oleh masyarakat dunia, terutama negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei dan Filipina.

Para penggiat industri halal di setiap negara jiran ini telah belajar dari kemajuan dan kesilapan yang dilakukan Malaysia sambil memperhalusi sistem masing-masing bagi menawan pasaran halal global yang lebih besar. Natijahnya hari ini pengaruh mereka dalam pasaran halal antarabangsa sudah setara atau melebihi dari apa yang kita miliki.

Bagi Malaysia, walaupun kita telah mempelopori arena pensijilan halal semenjak tahun 1971 lagi, namun industri halal domestik hanya mampu menyumbang kurang dari 2 peratus kepada pendapatan keseluruhan negara (KDNK). Menurut Halal Industry Development Corporation (HDC), industri halal Malaysia bernilai RM15 bilion setahun hari ini, dan sedang berkembang dengan kadar 5 peratus setahun.

Memang tidak dapat dinafikan yang Malaysia bukan sebuah negara pengeluar utama makanan seperti Australia, New Zealand, mahupun Thailand, namun jika masyarakat tempatan ambil peduli tentang logo halal bagi setiap barangan yang mereka beli, nescaya peratusan ini mampu melebihi dari tahap yang ada sekarang.

Malaysia memerlukan Pengusaha yang sedar akan potensi pasaran Halal

Namun, dalam kesungguhan mencari yang halal, masyarakat juga harus sedar bahawa sememangnya tidak ada paksaan dalam Islam dan persijilan halal adalah suatu piawaian yang bersifat voluntary. Pengusaha yang sedar akan potensi pasaran ini akan mengambil segala inisiatif ke arah itu.

Sebaliknya, jika mereka melihat potensi pulangan tidak setimpal dengan kepayahan yang harus ditempohi, maka logik akal mereka akan memutuskan untuk tidak bersusah-payah untuk di’halal’kan. Kenapa harus menyusahkan diri dan berbelanja lebih untuk pulangan yang tak seberapa?

Dalam aspek ini masyarakat perlu bersikap rasional dan tidak menuduh sembarangan tanpa bukti yang kukuh dan membiarkan pihak berwajib melakukan tugas dan peranan mereka sebagai pelindung hak-hak pengguna. Cukup sekadar melaporkan dan mencari sumber alternatif.

Sesuai dengan firman Allah SWT: ”Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya”. (An-Naĥl: 116).

Pengguna-pengguna bukan islam juga 

Penekanan kepada nilai-nilai universal dalam Thoyyib juga amat perlu bagi memperbetulkan persepsi umum, terutama bagi yang bukan Muslim, tentang kesempurnaan halal sebagai suatu cara hidup yang mampu menjamin keselamatan diri dan keluarga serta kelangsungan generasi akan datang.Komunikasi dan mesej kepada masyarakat tentang halal juga harus diolah semula dengan menekankan kepada kelebihannya sebagai alternatif premium yang lebih bersih, sihat serta selamat. Tahukah anda bahawa penyembelihan halal yang sempurna mampu mengeluarkan hampir kesemua darah dari dalam badan haiwan, lantas menjadikan dagingnya lebih bersih dan tentunya lebih sihat?

Semoga setiap dari kita umat Nabi Muhammad SAW mampu melaksanakan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka Bumi ini, dengan mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran. Kerana itulah janji kita kepada Allah SWT sebelum kita dilahirkan, yang akan ditanya nanti di Hari Pembalasan.

Semoga Allah memberikan kekuatan iman dan akal fikiran kepada kita untuk melakukan yang terbaik, Insha Allah.